Garis-garis Takdir Kehidupan
Setiap orang mempunyai garis takdirnya sendiri yang telah tertulis sejak azali. Sebelum sesuatu terjadi, tak siapa tahu tentang apa yang bakal menimpa dirinya. Apatah lagi untuk mengetahui tentang ketentuan orang lain. Kita sentiasa ingin tahu tentang kejadian yang akan datang dalam hidup kita, sedangkan kita tak mungkin tahu kerana ia adalah perkara ghaib yang tersembunyi dalam ilmu Allah. Keinginan manusia yang tinggi untuk mengetahui apa yang bakal berlaku pada masa depan terbukti dengan terhasilnya filem-filem yang cuba menggambarkan kemampuan menilik masa depan. Lama dulu, kita pernah menonton cerita Back To The Future . Banyak lagi filem-filem yang menggambarkan keadaan masa depan yang hanya berlandaskan kepada imaginasi yang fana. Di satu sudut lagi, terdapat begitu banyak sang bomoh penipu yang menilik nasib yang bakal menimpa seseorang sedangkan si bomoh sendiri tidak pasti apa yang akan terjadi pada dirinya pada esok hari. Hakikatnya, hanya Allah yang m...