Kelebihan Bukan Kemuliaan, Kekurangan Bukan Kehinaan
Suatu hari saya dan beberapa orang teman duduk bersama seorang ustaz untuk mendengar tazkirah. Sesi itu begitu ringkas dan mengena.
Ustaz mulakan dengan sebuah simulasi. 2 orang kawan saya diberi sebuah buku setiap seorang. Seorang diberi buku yang tebal, sedangkan seorang lagi bukunya nipis. Lalu kata ustaz kepada yang diberi buku tebal, "katakan ustaz hadiahkan buku ini buatmu, apa perasaanmu?", jawabnya, "gembira!". Lalu ustaz beralih kepada yang diberi buku nipis, "bagaimana denganmu?", katanya, "kurang gembira kerana lebih nipis berbanding dia". Ustaz kemudian memberikan arahan seterusnya, "sekarang, kamu berdua diminta membaca buku tersebut dan bentangkan pada pertemuan kita yang akan datang". Di ketika itu, yang berbuku tebal berkerut dahinya, yang berbuku nipis tersenyum gembira. Ustazpun tersenyum. 'Ibrahpun bermula.
Kita selalu gembira dengan kelebihan yang banyak dan bersedih dengan sedikitnya kelebihan. Kita lupa, bahawa setiap yang diberikan kepada kita pasti akan dipertanggungjawabkan. Semakin banyak kelebihan, semakin panjang perhitungan.
Kelebihan tidak semestinya bererti kita sedang dimuliakan oleh Allah. Ia juga boleh menjadi sebuah bentuk azab yang membawa kita jauh daripada-Nya seterusnya menyusur jalan ke neraka. Jika kelebihan merupakan kemuliaan, maka Fir'aunlah antara yang paling dimuliakan, kerana dia punya banyak kelebihan. Begitu juga Qarun, kelebihannya bahkan tak mampu ditandingi dalam membuat harta. Kekayaannya melimpah-limpah sehingga lekat istilah 'harta Qarun' sehingga sekarang. Sejarah melakarkan begitu banyak manusia yang punya kelebihan tertentu yang dianugerahkan oleh Allah, namun ternyata mereka tergolong daripada kalangan orang yang dihinakan oleh Allah.
Kekurangan pula tidak semestinya bererti kita sedang dihinakan. Ia boleh menjadi sebuah jalan penyucian hati yang membawa kita dekat kepada Allah, tetap dalam jalan ke syurga. Jika kekurangan merupakan kehinaan, maka para Nabi dan Rasul adalah antara orang yang dihinakan kerana kekurangan-kekurangan yang ada. Nabi Musa kurang daripada segi kelancaran berkata-kata. Nabi Ayyub ditimpa sakit yang perit. Kisah-kisah manusia yang hebat dan dimuliakan Allah tidak lari daripada kekurangan-kekurangan tertentu yang kelihatan di mata manusia biasa.
Memang ada yang diberi kelebihan dan dalam masa yang sama dimuliakan, begitu juga yang dihinakan dan dalam masa yang sama berada dalam serba kekurangan. Namun, kelebihan dan kekurangan janganlah dijadikan pengukur kepada posisi manusia di hadapan Allah. Hebatnya orang beriman, apabila diberi nikmat, dia bersyukur, apabila diberi ujian, dia sabar. Pujian dan penyucian terhadap Allah tidak lekang dalam apa juga keadaan.
Tabi'at manusia memang begitu. Melihat kelebihan sebagai sebuah bentuk kemuliaan, dan melihat kekurangan sebagai sebuah bentuk kehinaan. Sedangkan kedua-duanya adalah ujian yang Allah datangkan. Cara kita melaluinya yang akan menentukan taraf kita di sisi Allah. Demikianlah tabi'at manusia yang Allah sebutkan dalam Surah Al-Fajr, ayat 15-16:
"Adapun manusia apabila Tuhannya mengujinya lalu dia dimuliakan-Nya dan diberi-Nya kesenangan, maka dia akan berkata: "Tuhanku telah memuliakanku". Adapun bila Tuhannya mengujinya lalu membatasi rezekinya maka dia berkata: "Tuhanku menghinakanku"."
Bersyukurlah atas kelebihan, bersabarlah atas kekurangan. Kehancuran itu adalah pada merasa tak puas dengan kelebihan yang dianugerahkan. Kebahagiaan itu adalah pada merasa cukup walaupun serba kekurangan.
Wallahua'lam.
Comments
Post a Comment
Apa pandangan anda? Kongsikan bersama pembaca yang lain.