Pelajaran Daripada Pernikahan 9 - Saling Memberi
"Seandainya aku diizinkan untuk memerintahkan seseorang agar bersujud kepada orang lain, niscaya aku akan perintahkan kaum isteri untuk bersujud kepada suaminya." (HR Ahmad, At-Tirmidzi, dan Ibnu Majah)
"Sebaik-baik kalian ialah orang yang paling baik perilakunya terhadap isterinya, dan aku adalah orang yang paling baik dari kalian dalam memperlakukan isteriku." (HR At-Tirmidzi)
Islam adalah agama yang adil. Islam meletakkan suami sebagai orang yang bertanggungjawab terhadap keluarganya, dan memberikan penghormatan yang selayaknya. Islam mewajibkan isteri untuk taat kepada suami, dan memberikan pembelaan yang secukupnya. Baik suami mahupun isteri punya kewajipan yang harus dilunaskan terhadap Allah. Suami isteri harus berlumba-lumba untuk memberi yang terbaik di dalam rumahtangga demi mengangkat darjatnya di sisi Allah.
Menyedari hakikat tersebut, kita tidak akan saling menuntut. Sebaliknya, kita akan sentiasa berusaha untuk saling memberi. Kita tidak harus mencari jalan untuk saling menyakitkan, tetapi sentiasa bersabar dan berusaha untuk saling membahagiakan. Kita menyedari bahawa memberi yang terbaik bukan semata-mata untuk membahagiakan dia, bahkan terlebih penting adalah untukmeraih redha-Nya, tujuan yang paling asas dalam kehidupan kita.
Sebelum seorang suami meminta isteri memberikan ketaatan yang tidak berbelah bahagi, persoalkan dahulu sejauhmana sang suami telah memberikan hak kepada isterinya berupa perhatian, kasih sayang, penjagaan emosi, pendidikan dan sebagainya? Demikian juga sebelum seorang isteri meminta suaminya memberikan cinta yang tulus, persoalkan dahulu sejauhmana ia telah berusaha membuat suaminya redha terhadap dirinya?
Ah, cinta apa itu yang sentiasa mencari khilaf dan lupa memberi maaf? Cinta apa itu yang hanya memikirkan derita hati sendiri dan sentiasa mencari jalan melukai?
Memberilah dengan ikhlas, tanpa mengharapkan balasan. Jika tidak, kita akan cenderung untuk mengungkit-ungkit. Keikhlasan kita dalam memberikan yang terbaik buat pasangan tidak akan disia-siakan oleh Allah. Dia yang mengikat cinta, Dia yang menghidupkan rasa dan Dia yang memberi bahagia. Memberilah kerana-Nya, nescaya kebahagiaan itu akan selalu engkau rasakan sekalipun dalam keperitan hidup.
Jangan merasa rugi dengan memberi. memberi yang terbaik akan membuatkan dia bahagia, lantas membuatkan kita juga terasa bahagia. Cinta itu harus berani memulai. Buang segala expectationdan tuntutan-tuntutan terhadap pasangan. Sebaliknya, tanya diri kita, apa lagi yang belum kuberikan untuknya?
Bukan kita mesti kaya material untuk memberi, kerana pemberian material bukanlah yang paling utama. Namun, kita mesti kaya hati, supaya pemberian yang datang daripada hati akan sampai ke hati pasangan kita. Berilah penghormatan, berilah cinta, berilah perhatian, berilah kesetiaan, berilah masa untuk bersama, berilah kesempatan untuk dia mencuba.
Mudah-mudahan Allah mengurniakan kepada keluarga-keluarga kita sakinah, mawaddah wa rahmah.
Wallahua'lam.
Comments
Post a Comment
Apa pandangan anda? Kongsikan bersama pembaca yang lain.