Bingkisan Buat Adikku

Adikku,

Perjalanan hidup kita bukan terlakar dalam hitam putihnya warna, bahkan coretannya jauh lebih berliku dari sekadar biasan warna pelangi. Kita melalui setiap fasa hidup dengan merasakan bahawa ia adalah fasa yang paling payah, namun anggapan itu kabur tatkala kita sampai pada fasa yang ternyata lebih payah menanti di hadapan. Bekal terbaik yang boleh kutitipkan untukmu adalah bergantung kepada Allah di setiap keadaan hidupmu. Apapun fasa yang sedang kita hadapi, Allah sentiasa ada dan Dia mengerti. Kita yang selalu lupa kebersamaan-Nya dalam setiap langkah dan denyut nadi.

Adikku,

Semangat yang semakin luntur itu boleh dikaitkan dengan jauhnya kita daripada Dia, sumber semangat dan sumber tenaga. Tiada lain yang boleh mengurniakan kekuatan hati kepada kita melainkan Dia. Segala kekuatan yang berasas daripada material dan perkara-perkara lain hakikatnya semu, dan tak akan bertahan lama. Semoga hatimu dikuatkan sepertimana kuatnya hati para pemuda Kahfi tatkala menyatakan iman di hadapan raja yang zalim, "Dan Kami meneguhkan hati mereka di waktu mereka berdiri, lalu mereka pun berkata, "Tuhan kami adalah Tuhan seluruh langit dan bumi. kami sekali-kali tidak menyeru Tuhan selain Dia, sesungguhnya kami kalau demikian telah mengucapkan perkataan yang amat jauh dari kebenaran."" (Al-Kahfi: 14)


Adikku, 


Aku abangmu sentiasa mendoakan agar Allah sentiasa mencintaimu dan merahmatimu, kerana kebaikan sebenar itu datang bersama cinta dan kasih sayang-Nya. Aku berlindung daripada kelebihan yang datang bersama murka dan kebencian-Nya, sepertimana kelebihan yang diberikan kepada Firaun, Qarun, dan kaum-kaum yang terdahulu yang ingkar. Janganlah berbangga dengan segala kelebihan yang Allah kurniakan kepadamu, semua itu hanyalah pinjaman untuk menguji keimananmu. Bersyukurlah kepada-Nya dalam setiap keadaan, bersabarlah dalam menghadapi segala ujian.


Adikku, 


Jangan engkau mengharapkanku untuk mencukupi keperluanmu, kerana aku juga makhluk yang tak mampu memenuhi setiap keperluanmu, bahkan masih banyak keperluan diri sendiri yang tak mampu aku penuhi. Aku berusaha untuk membantu dan menjadi yang terbaik bagimu, namun ada yang lebih baik sebagai tempat engkau bergantung harap dan memohon segala keperluan, Dialah Tuhan seluruh langit dan bumi, pemilik segala perbendaharaannya. Dia yang akan mencukupkanmu dan selayaknya hanya Dia menjadi tempat engkau bergantung adikku.


Adikku,


Aku sangat mencintaimu daripada sudut hatiku yang dalam, namun cintaku takkan sekali-kali memastikan bahawa aku akan sentiasa ada untukmu, suatu hari kita pasti berpisah. Pun begitu, aku benar-benar ingin agar perpisahan kita nanti hanya sementara, dan kita akan dipertemukan di syurga untuk bersama selama-lamanya, dalam bahagia tanpa derita.


Adikku sayang, teruskan hidup dengan pergantungan penuh kepada Allah.


Salam cinta daripada abangmu yang sentiasa merindu.

Comments

Post a Comment

Apa pandangan anda? Kongsikan bersama pembaca yang lain.

Popular posts from this blog

Nasihat Adik beradik

Wahai Sahabatku Yang Kecewa

Allah Memberikan Apa Yang Kita Perlu