Meniti Takdir Kehidupan

"Dia lah yang membentuk rupa kamu dalam rahim (ibu kamu) sebagaimana yang dikehendaki-Nya. Tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana." (Ali-Imran: Ayat 6)

Allah telah menciptakan kita dalam bentuk yang terbaik seperti dikehendaki-Nya. Apabila kita meyakini hal tersebut, maka kita tidak akan membanding-bandingkan rupa paras kita dengan orang lain lalu mengutuk diri sendiri. "Dia cantik, aku hodoh","dia hensem, aku buruk", "dia tinggi, aku rendah", dan pelbagai lagi statement yang menggambarkan betapa kita tidak berpuas hati dengan ketentuan yang telah ditetapkan Allah. Bukan sahaja dalam elemen material yang nampak seperti rupa paras, tetapi juga dalam kehidupan seharian yang berbentuk peristiwa dan kejadian. Setiap yang berlaku pada kita semuanya berada dalam pengetahuan-Nya. Apabila Dia telah menetapkan sesuatu itu berlaku dalam jalan cerita hidup kita, janganlah kita mengeluh, "mengapa ini tidak berlaku kepada orang lain?" Kita harus meniti takdir kehidupan dan belajar bersyukur dengan ketentuan-Nya.

Jangan pisahkan kehidupan ini daripada Tuhan.

Apabila kita sentiasa sedar bahawa Dia ada, melihat dan mendengar, maka paradigma pemikiran kita akan berubah. Penghayatan hidup bertuhan dalam erti kata yang sebenar akan menjadikan kita sentiasa tenang dengan apa juga ketentuan. Walaupun sesekali kita goncang, namun kita tak terlepas daripada pegangan dan pergantungan kepada Allah. Setiap jalan cerita hidup ini kita lalui dengan penuh kesedaran bahawa Dia ada, memerhati dan membuat penilaian atas setiap amal perbuatan. Barulah kita akan menjadi orang yang Robbani, sentiasa merasa bertuhan dalam setiap keadaan. Tatkala kita mengabaikan Tuhan, Dia tidak rugi. Kitalah yang memerlukan Dia, bukan Dia yang perlukan kita. Tatkala kita berpaling, maka Diapun akan berpaling daripada kita.

Perspektif dalam meniti takdir

Apabila seorang insan Robbani melihat takdir kehidupannya yang telah berlalu, dia akan nampak sedemikian banyaknya nikmat yang telah Allah limpahkan baginya. Bermula daripada detik kelahiran sehinggalah saat ini, telalu banyak kurniaan Allah yang telah kita peroleh. Namun sayang, kita selalu melihat takdir daripada perspektif nafsu dan keinginan yang tidak pernah habis. Kita selalu mengeluh atas apa yang tidak kita peroleh lantas sering lupa menghargai apa yang telah kita nikmati.

Perspektif "apa yang aku nak" akan menarik kita jauh daripada syukur kerana kita sentiasa inginkan sesuatu yang memuaskan namun hakikatnya Allah tahu bahawa ia memudaratkan. Kita sentiasa merasa tidak puas dengan apa yang telah ditentukan Allah. Lalu, kita mula mempersoalkan dengan penuh lalai, "Aku nak kaya, kenapa Allah jadikan aku miskin?", "sepatutnya aku dapat macam ni, bukan macam tu". Kita merasakan bahawa kita lebih tahu daripada Allah dalam melihat kehidupan ini. Sampai satu keadaan, kita merasakan bahawa kitalah yang menentukan apa yang 'sepatutnya' berlaku dalam kehidupan ini.

Sebaliknya, perspektif "apa yang Allah tentukan pasti terbaik" akan membuatkan kita sentiasa redha dalam melalui kehidupan. Itu tidak bermaksud kita tidak merancang dan berusaha untuk hidup dengan cara terbaik, namun kita sedar bahawa hakikatnya Dia yang menentukan. Jika Dia tidak izinkan, maka tak mungkin terjadi. Jika dia takdirkan, pasti berlaku. Perspektif inilah penting dalam melalui kehidupan ini. Perspektif yang kita gunakan akan menentukan sikap kita dalam menghadapi segala kejadian dan ketentuan. Ia ibarat kaca mata yang kita gunakan dalam melihat dunia. Jika salah perspektif, maka kaburlah yang kita nampak. Jika tepat, maka jelaslah penglihatan kita terhadap dunia.

Meniti hidup dengan Taqwa

Taqwa digambarkan dengan sikap yang sangat berhati-hati dalam segenap aspek kehidupan. Kita harus meniti hidup ini berbekalkan taqwa agar kita tidak terlalu semborono dalam melangkah. Setiap perkara yang berlaku, kita sentiasa belajar memahami tanda-tanda yang ingin disampaikan Allah. Jika dia menguji, kita cepat-cepat sedar dan melaluinya dengan sabar. Baik ujian itu dalam bentuk kesusahan atau kesenangan, kita akan sentiasa waspada dan tidak melupakan Dia. Kita berhenti melakukan sesuatu bila Dia mengatakan tidak, kita teruskan jika Dia mengatakan boleh. Kita buat jika Dia suruh walaupun berat, kita tinggalkan jika Dia larang walaupun kita amat menyukainya.

Maka, taqwa adalah sebaik-baik bekal yang dibawa oleh seorang hamba bertemu Tuhan-Nya. Jadikanlah taqwa itu sebagai pakaian yang sentiasa memelihara kita daripada maksiat.

"...dan pakaian taqwa itulah yang paling baik..." (Al-A'raaf: 26)

"
...berbekallah, dan sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah taqwa..." (Al-Baqarah: 197)

Kelak, orang bertaqwa akan diangkat darjatnya di hadapan sekalian manusia.

"(Ingatlah) hari (ketika) Kami mengumpulkan orang-orang yang taqwa kepada Tuhan Yang Maha Pemurah sebagai perutusan yang terhormat." (Maryam: 85)

Kesimpulannya, renunglah takdir kehidupan yang telah Allah tetapkan dan laluilah takdir yang belum dinampakkan dengan penuh kesedaran bahawa Dia ada, melihat dan mendengar. Takdir itu perlu dititi dengan penuh hati-hati, penuh syukur dan tawakkal.

Wallahua'lam.


Comments

Popular posts from this blog

Nasihat Adik beradik

Wahai Sahabatku Yang Kecewa

Allah Memberikan Apa Yang Kita Perlu